PHNOM PENH – Pengguna jalan raya di Kemboja berdepan detik cemas apabila melihat beberapa lelaki dihantar ke lokasi tidak diketahui dengan diletakkan dalam sangkar, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di Bandar Bavet, wilayah Svay Rieng baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mustsharenews menunjukkan sebuah motosikal yang membawa sangkar besar sedang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.
Lebih mengejutkan, sangkar tersebut ‘mengurung’ beberapa lelaki.
Orang ramai mengaitkan perbuatan itu dengan sindiket pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa di Kemboja.
Pentadbiran Wilayah Svay Rieng berkata, pemilik sangkar itu memberitahu bahawa motosikalnya tidak mempunyai ruang yang mencukupi selepas meletakkan sangkar itu.
“Disebabkan motosikal saya tiada ruang, saya terpaksa membawa pekerja-pekerja saya dengan meletakkan mereka di dalam sangkar,” katanya. – AGENSI














