KOTA TINGGI – Keadaan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di sini semakin memburuk apabila seramak 112 penduduk dari 39 keluarga ditempatkan di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, dua PPS berkenaan dibuka di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal.
“Seramai 86 penduduk dari 27 keluarga ditempatkan di dewan. Sementara di sekolah seramai 26 penduduk dari 12 keluarga telah dipindahkan di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, PPS di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai mula diaktifkan selepas satu mesyuarat penyelarasan insiden kebakaran di kawasan Taman Bayu Damai, Pengerang telah diadakan petang semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata susulan daripada mesyuarat penyelarasan tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memasang alat pemantauan udara (GRIMM) di kawasan Taman Bayu Damai dan akan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan jika bacaan kualiti udara (IPU) tinggi.
“Pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














