MELAKA – Seorang bapa empat anak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri susu tepung, syampu dan sabun pencuci dari sebuah pusat beli-belah minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Ghazali Maidin, 46, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri dua pek susu tepung Nestle Everyday 1.7 kilogram(kg), dua botol syampu Sunsilk (625 mililiter) dan sebotol pencuci pakaian Top (3.6 kg) bernilai RM131.50 milik Aeon Co (M) Bhd.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi di pusat beli-belah Aeon Ayer Keroh pada 21 Januari lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu agar hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan dia menanggung empat orang anak dan melakukan kesalahan itu kerana desakan hidup.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif hanya memohon hukuman setimpal dikenakan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE














