KEJAYAAN merangkul emas kelapan di Sukan Para ASEAN (APG) 2025 Thailand menjadi permulaan terbaik buat jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk memburu misi lebih besar pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ziyad yang baru sahaja mendominasi emas di bumi Thailand dengan lontaran sejauh 16.81 meter (m) itu menegaskan, dia tidak sekadar mahu mempertahankan pingat emas di Jepun nanti, malah bertekad memecahkan rekod Asia miliknya sendiri.
Jelas atlet berusia 35 tahun itu, momentum kemenangan di Thailand akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan teknik dan meningkatkan prestasi menjelang temasya berprestij Asia tersebut.
“Pertama sekali, untuk menuju ke Para Asia Nagoya, memang saya letakkan sasaran dan akan bekerja keras untuk memecahkan rekod Asia milik saya sendiri.
“Memandangkan saya pemegang rekod tersebut, saya akan cuba sedaya upaya untuk memperbaharui catatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bumi Jepun bukanlah asing buat Ziyad apabila tahun 2024, pemenang pingat emas Paralimpik Rio de Janeiro 2016 itu mencipta sensasi apabila memperbaharui rekod Asia dengan catatan 17.43m di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe.
Selain misi memecahkan rekod, Ziyad juga mempunyai motivasi peribadi untuk mengekalkan rekod bersihnya di pentas Asia.
“Saya mahu buktikan kemampuan untuk mengekalkan status tanpa kalah dalam kancah Para Asia. Saya akan cuba dan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap itu,” jelasnya.
Sebagai rekod, Ziyad mempunyai reputasi digeruni di Asia apabila menyapu bersih pingat emas dalam tiga edisi terdahulu iaitu di Incheon (2014), Jakarta (2018), dan Hangzhou (2022).
Mengulas mengenai kejayaannya di APG 2025, Ziyad menyifatkan ia sebagai pembakar semangat selepas melalui pelbagai cabaran.
“Perjalanan ini penuh pengorbanan, air mata dan kesabaran, namun semua itu terbalas. Sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih yang tidak jemu membimbing menjadi kunci kekuatan saya untuk terus konsisten,” tambahnya.
Kemenangan selesa mengatasi rakan senegara, Mohamad Aliff Mohamad Awi dan atlet tuan rumah di Thailand membuktikan Ziyad berada di landasan tepat untuk memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Aichi-Nagoya yang berlangsung pada Oktober nanti.














