fbpx
GAMBAR HIASAN

Pengguna air di Seberang Perai diingatkan simpan air mulai Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kira-kira 26,000 pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) diingatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 jam pada 28 dan 29 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, peringatan itu dikeluarkan seiring dengan pelaksanaan kerja penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai kedua (SP-RCP ke-2) di Sungai Dua.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan berhampiran Restoran Sri Tambang dan Restoran Aur Gading pada 28 Januari ini melibatkan saluran paip utama berdiameter 900 milimeter yang membekalkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

”PBAPP tidak merancang sebarang gangguan bekalan air berjadual (SWSI) kerana teknologi “hot tapping” dan “line stopping” akan digunakan bagi membolehkan penyambungan dilakukan tanpa menutup aliran air.

”Dengan penggunaan teknologi ini, bekalan air kepada pengguna di SPU dan SPT dijangka tidak terjejas sepanjang tempoh kerja dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini merupakan kali pertama teknologi berkenaan digunakan bagi kerja penyambungan akhir melibatkan saluran paip utama bersaiz besar di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, PBAPP mengambil langkah berhati-hati dengan menggesa pengguna supaya menyimpan air secukupnya sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak dijangka semasa kerja-kerja tersebut dijalankan.

”Antara kawasan terlibat di SPU ialah Sungai Dua, manakala kawasan di SPT meliputi Alma, Bukit Mertajam termasuk Pekan Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh, Cherok Tokun, Kampung Baru dan Kampung Kota.

”Turut terlibat ialah Kota Permai, Machang Bubok, Padang Lalang, Penanti, Permatang Pasir, Sungai Rambai, Taman Bukit, Taman Bukit Indah dan Taman Sentosa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN