PETALING JAYA – Teruk dikecam, penyanyi Syed Iqbal memohon maaf selepas hantaran media sosial berkaitan perubahan karakter abangnya yang juga pendakwah selebriti, Da’i Syed selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan merogol wanita berusia 23 tahun pada Ogos 2024.
Iqbal atau nama lengkapnya Syed Muhammad Iqbal Jamalullail, 25, menyatakan bahawa hantaran tersebut dimuat naik dalam keadaan emosi selepas abangnya dijatuhkan hukuman penjara, baru-baru ini.
“Susulan hantaran saya sebelum ini yang tersebar dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam media sosial, saya ingin mengeluarkan kenyataan berikut.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka atas hantaran saya sebelum ini. Saya sedar tulisan tersebut menimbulkan kemarahan, salah faham dan melukakan perasaan banyak pihak.
“Itu bukan niat saya. Saya menulis dalam keadaan emosi sebagai seorang ahli keluarga yang sedang berdepan ujian besar,” katanya dalam hantaran Instagram.
Bagaimanapun, pelantun lagu Basstamam itu menegaskan hantaran tersebut bukan pembelaan terhadap jenayah yang dilakukan abangnya sebaliknya hanya luahan peribadi dari sudut seorang adik.
“Saya ingin jelaskan dengan tegas bahawa saya tidak menyebelahi, tidak mempertahankan dan tidak meremehkan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang atau tidak bermoral.
“Hantaran tersebut hanya berkisar tentang apa yang saya lihat dari sudut peribadi dan proses muhasabah diri, bukan untuk membenarkan apa-apa perbuatan, dan bukan untuk menafikan kesakitan mana-mana pihak.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh bahawa perkongsian itu tidak wajar dibuat di ruang awam, dan saya benar-benar menyesal atasnya,” tuturnya.
Dalam masa sama, dia turut merayu agar menghentikan serangan dan ugutan terhadap dirinya, keluarga dan orang sekeliling yang sememangnya tidak terlibat.
“Saya juga merayu agar hentikan serangan, ugutan, dan penyebaran terhadap diri saya, orang terdekat, rakan-rakan dan keluarga kami.
“Mereka tidak terlibat dalam apa yang berlaku dan tidak wajar menanggung kebencian ini.
“Buat masa ini, saya memilih untuk berdiam diri dan menyerahkan segala urusan kepada saluran yang sepatutnya. Terima kasih kepada semua yang masih menjaga adab dan kemanusiaan,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman 10 tahun penjara serta tiga sebatan terhadap Da’i Syed atas kesalahan merogol seorang wanita lima tahun lalu.
Susulan itu, Syed memuat naik hantaran menceritakan perubahan karakter abangnya dalam memikul amanah sebagai anak, abang, bapa dan suami dengan baik.
Kontroversi tercetus apabila Iqbal memuat naik hantaran memuji karakter abangnya dalam memikul amanah keluarga, namun tindakan itu diselar netizen kerana dianggap tidak sensitif terhadap mangsa. – KOSMO! ONLINE














