fbpx
NORAINI (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Loji Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) EcoCeres di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini.

Loji bahan api penerbangan mampan pertama beroperasi di Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri tenaga mampan apabila loji Bahan Api Penerbangan Mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) pertama negara mula beroperasi di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini, hari ini.

Loji dibangunkan oleh EcoCeres Renewable Fuel Sdn. Bhd. itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam agenda peralihan tenaga bersih di peringkat serantau.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pengoperasian loji tersebut adalah langkah signifikan dalam menyokong sasaran global penerbangan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“SAF merupakan antara penyelesaian paling realistik dan berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor penerbangan yang kini berdepan tekanan tinggi berkaitan isu perubahan iklim.

“Kejayaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Dasar Agri-Komoditi Negara 2030 (DAKN 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan bahan api mampan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Loji Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) EcoCeres di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kerajaan juga sedang giat merangka dasar mandat campuran SAF di peringkat nasional, termasuk sasaran awal campuran satu peratus bagi merangsang permintaan dan pertumbuhan industri.

Ujarnya, loji SAF EcoCeres menggunakan biojisim berasaskan sisa yang diperakui, sekali gus membolehkan sumber buangan ditukar kepada produk bernilai tinggi serta mesra alam untuk kegunaan industri penerbangan.

Tambahnya, EcoCeres yang memiliki lebih sedekad pengalaman dalam teknologi bahan api boleh baharu dipilih mengembangkan operasinya di Malaysia berikutan keyakinan terhadap dasar negara, kestabilan ekonomi serta keupayaan tenaga kerja tempatan.

“Kemudahan biopenapisan itu mempunyai kapasiti pengeluaran berlesen sebanyak 350,000 tan setahun, melibatkan penghasilan SAF, diesel boleh baharu dan produk bio lain untuk pasaran global.

“Menariknya, loji berkenaan merupakan yang pertama di Malaysia menghasilkan SAF yang diperakui di bawah pensijilan ISCC CORSIA dan ISCC EU, sekali gus memenuhi standard kelestarian antarabangsa,”katanya.

Dari sudut ekonomi, beliau berkata, projek itu dijangka memberi limpahan manfaat kepada rantaian bekalan tempatan serta membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor biojisim, logistik dan perkhidmatan sokongan industri.

Jelasnya, Johor pula dilihat terus mengukuhkan peranannya sebagai hab tenaga dan perindustrian serantau dengan kehadiran pelaburan strategik di Tanjung Langsat yang terkenal sebagai pusat logistik utama negara.

“Kerajaan menegaskan bahawa peralihan tenaga tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan rakan strategik sektor swasta seperti EcoCeres bagi membina industri baharu, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memastikan pertumbuhan ekonomi rendah karbon yang mampan,”katanya.- KOSMO ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI