KOTA TINGGI – Seramai 52 mangsa dari 17 buah keluarga dipindahkan ke pusat transit sementara di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai susulan kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai sejak Jumaat lalu.
Ketua Kampung Sungai Kapal, Suhaimi Sujak berkata mangsa terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa dan juga 13 kanak-kanak.
Katanya, kebakaran tanah gambut yang berlaku kali ini dilihat kritikal ekoran penduduk terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan asap sehingga menjejaskan kesihatan mereka.
Menurutnya, kebakaran tersebut melibatkan jarak kira-kira 50 ke 100 meter dari penempatan penduduk.
“Bermula dari dua buah keluarga kemudian semakin bertambah kerana penduduk pada awalnya bertahan di rumah semakin hari mula rasa tidak selesa dan mulai sakit tekak, pedih mata dan sebagainya.
“Namun ada juga yang masih enggan berpindah kerana takut meninggalkan rumah berbanding keselamatan diri. Tetapi jika keadaan semakin teruk mereka harus berpindah juga. Setakat ini keadaan penduduk masih terkawal dan hanya menjalani pemeriksaan biasa sahaja akibat asap kebakaran tersebut,”katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bayu Damai di sini hari ini.
Sementara itu, Amir Badri Mohd Nor, 38, antara penduduk terawal yang terjejas akibat kebakaran itu memaklumkan dia dipindahkan ke pusat transit itu sejak Sabtu lalu.
Katanya, walaupun semua tingkap dan pintu ditutup, asap tetap masuk ke dalam rumah melalui celah-celah kecil seperti lubang kunci dan bahagian bawah pintu.
“Petang Jumaat itu memang teruk, jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja. Malam pula kami tidur dalam asap. Tambahan pula saya ada anak yang masih kecil. Anak-anak pula mula batuk, mata gatal dan tekak perit. Jadi bila diminta pindah kami terus pindah untuk keselamatan. Alhamdulillah, petugas Klinik Kesihatan Bayu Damai juga ada datang buat pemeriksaan di sini,” katanya.-KOSMO! ONLINE














