WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman Sachs, David Solomon menerima pakej pembayaran berjumlah AS$47 juta (RM186 juta) pada 2025, lapor akhbar New York Post semalam.
Pendapatan lelaki berusia 63 tahun itu meningkat 21 peratus daripada gaji AS$38 juta (RM151 juta) yang diterima pada tahun 2024. Beliau dibayar AS$31 juta (RM123 juta) pada 2023.
“Solomon memperoleh gaji pokok pada 2025 sebanyak AS$2 juta (RM7.9 juta) dan AS$45 juta (RM178 juta) dalam pampasan berubah-ubah tahunan,” kata Goldman Sachs dalam pemfailan kawal selia.
Ini bermakna beliau mengatasi CEO JPMorgan, Jamie Dimon yang menerima pakej pembayaran AS$43 juta (RM170 juta) untuk tahun 2025, meningkat 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksekutif-eksekutif Goldman berkata, mereka mempertimbangkan beberapa faktor tetapi menekankan bahawa Solomon telah menyelia prestasi kukuh dalam menyokong pelanggan merentasi perbankan dan pasaran global serta pengurusan aset dan kekayaan. – AGENSI














