STATUS sebagai selebriti membuatkan Azrel sangat mementingkan penampilan diri.

Smart kasual jadi identiti fesyen Azrel Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENAMPILAN dan pilihan gaya yang betul saat tampil di hadapan umum menjadi hal penting buat selebriti agar kelihatan eksklusif dan menyerlahkan pesona sebagai seorang bintang.

Disebabkan itu, bagi aktor Azrel Ismail, busana yang disarung di tubuh bukan sahaja kelihatan indah di mata tetapi dapat memicu aura positif, kemas dan berketerampilan.

Kata pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu, penampilan smart kasual (smart casual) atau kasual kemas menjadi pilihan fesyennya.

Bukan sahaja kena dengan jiwa, Azrel turut menyifatkan gaya itu bukan hanya membuatkan penampilannya kelihatan lebih santai dan bersahaja tetapi sudah dianggap sebagai identiti dirinya.

“Bercakap tentang fesyen yang digemari kebiasaannya saya pilih smart casual kerana ia juga boleh dikatakan santai dan terlihat formal.

“Biarpun suka gaya sebegitu, namun tidak bermakna saya menolak penampilan lain. Saya terbuka untuk mencuba sebarang konsep fesyen tetapi saya lebih memberi keutamaan kepada gaya sebegini,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Terus bercerita tentang fesyen, Azrel berpendapat pilihan warna yang kontra mampu mempunyai penampilan kelihatan berbeza berbanding menggayakan busana rona seakan-akan sama. 

Kombinasi warna antara pastel dan gelap mahupun semula jadi menjadi kunci dalam menentukan padanan rona pakaian untuk digayakan.

“Hitam, biru, turquoise (pirus) boleh dikatakan warna kegemaran saya. Tetapi tidak selalu saya warna itu melainkan sesuai dengan tema majlis.

“Bagi saya gandingan beberapa warna perlu untuk kelihatan menyerlah. Sebagai contoh, jika seluar saya pilih warna putih, manakala baju pula akan dipadankan dengan warna gelap seperti biru gelap agar nampak kontra.

BEG silang antara pelengkap gaya Azrel selain bersifat praktikal.

“Sekiranya ada beberapa lapisan, saya akan cuba pilih warna yang berbeza kerana sangat menggemari gaya ala lelaki Itali,” katanya.

Tidak hanya bercakap tentang pilihan gaya dan warna, pelakon drama Melastik Ke Hatimu 2 itu juga memberitahu, dia gemar mengenakan pakaian baggy (bersaiz besar).

Kelihatan tidak terlalu ‘melekat’ pada badan, pakaian baggy juga mudah untuk dipadankan selain sesekali memilih untuk mengenakan seluar pendek.

Kemudian perkongsian Azrel beralih kepada pemilihan aksesori yang akan menjadi keutamaan untuk dipadankan dengan pakaian sekali gus berfungsi sebagai pelengkap gaya.

Katanya, jam menjadi perhiasan wajib dan lebih-lebih lagi saat muncul di acara fesyen atau rasmi. Bukan sahaja memberitahu tentang waktu, namun bentuk dan warna jam turut memberi impak pada fesyen.

“Saya suka jadikan jam sebagai salah satu perhiasan atau sesekali akan memakai gelang atau kaca mata. Namun itu bergantung kepada majlis bagi memberi sentuhan ranggi.

GABUNGAN warna gelap dengan sedikit kontra membuatkan penampilan Azrel lebih menyerlah.

“Memakai beg silang juga bergantung kepada majlis kerana saya perlu meletakkan barangan peribadi seperti dompet, kunci kereta, minyak wangi dan sebagainya kerana tidak mahu terlalu berat dalam poket.

“Sekiranya pembantu saya juga hadir ke acara itu, mungkin barangan tersebut akan diberikan kepadanya tetapi jika sendirian semua itu selalu diletakkan di dalam beg silang supaya lebih mudah dibawa,” ujarnya.

Status sebagai selebriti membuatkan aktor berusia 42 tahun itu sangat mementingkan penampilan tidak mengira sama ada di depan khalayak nyata mahupun maya.

Bagi Azrel, perkongsian di media sosial juga secara tidak langsung membuatkan dia belajar bagaimana ingin memadankan pakaian mengikut warna.

Oleh itu, Azrel akan menggunakan khidmat penata gaya bagi membantu untuk menentukan pilihan fesyen agar personaliti kelihatan lebih menarik.

“Ada juga penata gaya yang bantu kerana penting untuk saya kelihatan bergaya jika menghadiri acara fesyen khususnya melibatkan jenama terkemuka.

“Saya juga belajar membuat padanan pakaian daripada penata gaya agar sentiasa tampil bergaya dan terlihat profesional untuk menghadiri pelbagai acara” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN