KUALA LUMPUR – Kontinjen negara menutup kempen Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand dengan aksi cukup cemerlang apabila berjaya membawa pulang 64 pingat emas, sekali gus melepasi sasaran 55 emas yang disasarkan sebelum ini.
Lebih membanggakan, kontinjen negara berjaya mengumpul 201 pingat keseluruhan selepas menuai 64 perak, 73 gangsa sekali gus mengatasi sasaran jumlah kutipan pingat iaitu 181 pingat.
Biarpun tuan rumah, Thailand muncul juara keseluruhan dengan dominasi 175 emas, diikuti Indonesia di tempat kedua (131 emas), semangat juang kontinjen negara tetap membanggakan apabila mengukuhkan kedudukan selaku kuasa ketiga terbaik Asia Tenggara.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyifatkan kejayaan melepasi angka 60 pingat emas dan 200 pingat keseluruhan ini adalah hasil keberkesanan dan strategi ampuh yang digarap bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Alhamdulillah, kita bukan sahaja mencapai sasaran 55 emas, malah prestasi atlet terus melonjak sehingga melepasi 181 pingat secara keseluruhan dengan jumlah rasmi 201 pingat.
“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha keras setiap Persatuan Para Kebangsaan dan atlet yang sentiasa mempamerkan peningkatan prestasi setiap kali beraksi di pentas APG. Cabaran edisi kali ini amat sengit kerana negara ASEAN lain menunjukkan peningkatan mendadak.
“Apapun kejayaan ini ditujukan kepada semua atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pasukan perubatan serta pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sukan para adalah masa depan negara dan sentiasa akan memberikan kejayaan buat Malaysia,” katanya.
Pada temasya tersebut, skuad olahraga negara menjadi penyumbang terbesar Kontinjen Malaysia dengan merangkul 20 emas, 22 perak dan 23 gangsa sepanjang temasya berlangsung.
Skuad renang para negara turut mempersembahkan aksi terbaik mereka apabila membawa pulang 13 emas, 20 perak dan 22 gangsa. -KOSMO! ONLINE













