PETALING JAYA – Tabiat melihat telefon sejurus terjaga daripada tidur antara punca utama yang mengganggu produktiviti sepanjang hari.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM), kebiasaan mencapai telefon sejurus bangun tidur boleh meningkatkan keresahan diri.
“Buka sahaja mata, tangan terus meraba bawah bantal cari telefon. Benda pertama nampak ialah notifikasi WhatsApp kerja, berita kemalangan di Facebook, atau video kawan bercuti di Instagram.
“Bila bangun, otak kita masih dalam fasa transisi yang tenang. Bila kita suap dengan kandungan media sosial yang laju, otak dibanjiri Dopamine secara paksa.
“Akibatnya, kita jadi ketagih dan susah nak berhenti scroll. Niat nak tengok 5 minit, terlajak jadi 45 minit,” katanya.
Jelas PHM, waktu pagi merupakan masa untuk mengatur jadual harian supaya lebih proaktif berbanding memikirkan masalah orang lain.
Tambahnya, melihat berita buruk atau kehidupan ‘sempurna’ orang lain awal pagi akan meningkatkan hormon stres dengan rasa takut, risau, atau rasa diri serba kekurangan.
PHM turut mengingatkan agar tidak menyentuh media sosial untuk 30 minit pertama selepas bangun dan menggantikan dengan mengemas katil, minum air dan melihat luar tingkap bagi memberi ruang kepada otak sebelum memulakan hari. –KOSMO! ONLINE














