fbpx
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah van selepas terlibat kemalangan dengan tiga lagi kenderaan di Kampung Batu 40 Lempur, Manong di Kuala Kangsar hari ini.

Lelaki rentung, van terbakar selepas nahas empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki ditemukan rentung selepas van dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan sebelum terbakar di Kampung Batu 40 Lempur, Manong, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.16 petang.

Katanya, seramai 15 anggota bersama jentera diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Kemalangan melibatkan sebuah van Nissan Vannete dipandu lelaki berusia 32 tahun, sebuah lori satu tan, kereta Honda Civic dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish.

“Nahas itu menyebabkan van berkenaan terbakar di mana terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kenderaan manakala dua lagi penumpang dikeluarkan oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi memadam kebakaran segera dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula bekalan air bersumberkan tangki jentera sehingga kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, mangsa yang terperangkap di dalam van dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang berada di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI