KUALA LUMPUR – Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin terus mengukuhkan statusnya sebagai sandaran emas Malaysia di Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara powerlifting lelaki kategori 80 kilogram (kg), hari ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan keunggulan apabila mengangkat beban seberat 201kg untuk muncul juara, meninggalkan pencabar terdekat dari Thailand, Marasri Thongsa yang sekadar meraih perak dengan catatan 173kg.
Kejayaan Bonnie diserikan lagi dengan pencapaian abangnya, Bryan Junency Gustin yang menghadiahkan pingat perak dalam acara powerlifting lelaki kategori 88kg selepas melakukan angkatan 195kg.
Pingat emas kategori tersebut menjadi milik wakil Indonesia, Jaya Andika Eka yang mencatat angkatan 198kg, manakala gangsa dimenangi atlet Thailand, Khamdam Chinnaphop hasil angkatan 170kg.
Prestasi cemerlang Bonnie dan Bryan sekali gus mengukuhkan dominasi Malaysia dalam acara powerlifting yang terus menjadi antara penyumbang utama pingat kontinjen negara di temasya berkenaan.
Sehingga jam 3.30 petang ini, Malaysia kekal berada dalam kelompok tiga teratas carta pingat dengan kutipan 35 emas, 35 perak dan 43 gangsa.
Dengan beberapa hari lagi sebelum tirai temasya dilabuhkan, kontinjen negara dijangka terus berdepan cabaran sengit daripada kuasa besar serantau termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam dalam usaha menambah koleksi pingat.
Prestasi konsisten yang ditampilkan atlet negara setakat ini menyuntik keyakinan bahawa Malaysia berada di hala tuju tepat untuk memburu sasaran keseluruhan 181 pingat, termasuk 55 emas di APG Thailand 2025. KOSMO! ONLINE














