KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mempertahankan mahkota kemenangan Indonesia Masters musnah selepas ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Dalam pertembungan sengit di Istora Senayan, Jakarta itu, pasangan negara yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan terpaksa berhempas pulas sebelum tumpas di tangan wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Wei Chong-Kai Wun yang berhasrat untuk ke pentas separuh akhir tewas straight set 20-22, 19-21 dalam tempoh 38 minit.
Kegagalan itu merentap impian mereka untuk mengulangi prestasi cemerlang musim lalu di venue sama, di mana mereka meraih gelaran Super 500 pertama karier selepas menumbangkan pasangan utama Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di pentas final.
Kegagalan itu juga menyaksikan Wei Chong-Kai Wun terus pulang hampa kerana sebelum ini mereka juga tewas di kempen Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Lebih perit, keputusan itu memanjangkan lagi ‘badi’ pasangan negara ketika berdepan Sabar-Reza.
Kekalahan terbaharu itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini tewas enam kali berturut-turut di tangan lawan tersebut, dengan satu-satunya kemenangan pernah dicatatkan adalah pada separuh akhir Terbuka Indonesia, dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














