LAZIMNYA, ada program wakaf al-Quran, namun pernah terfikirkah untuk menderma sejumlah wang bagi penerbitan program televisyen?
Kelainan tersebutlah yang diperkenalkan stesen televisyen dengan kandungan islamik, TV AlHijrah apabila melancarkan Wakaf Media. Usaha tersebut merupakan satu inisiatif yang menggabungkan konsep wakaf dengan dakwah islamiah dalam platform penyiaran dan digital.
Menerusi usaha itu, TV AlHijrah dapat menyebarkan ilmu serta kandungan kerohanian dan keagamaan secara berterusan kepada masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah berdepan cabaran besar daripada pesaing iaitu stesen televisyen konvensional, laman penstriman (OTT) dan juga platform digital.
Sehubungan itu, pelaksanaan Wakaf Media dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan media Islam agar tidak terus bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
“Sebagai permulaan, sebahagian dana tersebut akan disalurkan kepada penerbitan dua program utama iaitu Quran@114 dan Hadis@114. Kos penerbitan bagi kedua-dua program berkenaan dianggarkan bernilai sebanyak RM1.5 juta setahun,” ujar Namanzee.
Telus
Sedar duit wakaf bukanlah perkara yang kecil, Namanzee menjelaskan, dana untuk program Wakaf Media akan dipantau Yayasan Waqaf Malaysia agar telus dan mencapai matlamatnya.
“Kerjasama ini memberi jaminan keyakinan kepada para pewakaf, khususnya dalam suasana semasa yang menyaksikan masyarakat semakin peka terhadap isu kutipan dan pengurusan dana.
“Setiap tiga bulan pihak kami akan menghantar laporan dan butiran terperinci ke mana wang tersebut digunakan. Tahun pertama hanya untuk dua program sahaja, tahun kedua mungkin diluaskan kepada penggunaan studio dan kelengkapan teknikal pula,” tutur Namanzee.
Setiap program yang diterbitkan bawah inisiatif Wakaf Media akan ditandakan sebagai kandungan wakaf dan dianggap sebagai hak milik umat Islam, yang diamanahkan kepada TV AlHijrah untuk dikongsi demi manfaat umum.
“Penerbit dan hak milik program itu bukan lagi TV AlHijrah tetapi milik orang Islam. Kandungan program yang diterbitkan bawah dana Wakaf Media boleh dimanfaatkan oleh institusi seperti universiti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
“Selain ilmu yang boleh dikongsi bersama umum, pahala yang diterima pewakaf juga berpanjangan selagi ilmu itu dipertontonkan kepada umum tidak kira di mana pun platform,” kongsi Namanzee.
Bagi perancangan jangka panjang, TV AlHijrah menyasarkan agar keseluruhan ekosistem medianya, termasuk pengurusan bangunan dan fasiliti penerbitan dapat dibangunkan sepenuhnya berasaskan wakaf dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Pengiklanan untuk media Islam bukan mudah. Hasrat kami, suatu hari nanti keseluruhan pemilikan media ini adalah milik orang Islam,” ujar Namanzee yang ditemui pada majlis pelancaran program Wakaf Media di Putrajaya, baru-baru ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Everly Putrajaya itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan. Turut hadir termasukla Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron serta barisan tetamu kenamaan daripada pelbagai agensi dan institusi Islam.














