fbpx
Pemain TFC puas membelasah UM Damansara United 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus hari ini.

Piala Malaysia: Hatrik Engku Syakir bawa TFC ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Terengganu FC mara bergaya ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan UM Damansara United dengan agregat 7-0 selepas kemenangan bergaya 5-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.

Pada pertembungan itu, tuan rumah tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan apabila kerap melancarkan asakan ke kubu lawan sejak minit pertama.

Tiga jaringan dihasilkan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob manakala dua gol dijaringkan Raianderson da Costa pada perlawanan berkenaan mengesahkan kemaraan TFC ke peringkat suku akhir.

Skuad Sang Penyu berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-32 menerusi tandukan Engku Shakir hasil hantaran Shervoni Mabatshoev.

Empat minit kemudian, bekas penyerang kebangsaan itu sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila mudah menolak masuk bola ke gawang lawan hasil umpanan Careca untuk menggandakan kelebihan TFC.

Tuan rumah terus memperkukuh kedudukan apabila Careca pula meledak gol ketiga selepas bijak menyudahkan hantaran Akhyar Rashid hanya beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama.

Engku Syakir melengkapkan hatrik peribadinya pada minit ke-62 selepas rembatan deras dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol muda pelawat, Muhammad Haziq Mukriz Hasemuddin.

Dalam usaha UM Damansara United mencari gol saguhati, TFC menambah derita pelawat dengan menambah gol kelima pasukan menerusi Careca sekaligus melengkapkan malam gemilang skuad Penyu dengan kemenangan 5-0.

TFC dijadual bertemu pemenang antara Perak FA atau Kuala Lumpur City FC yang akan ditentukan pada perlawanan lusa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI