fbpx
KEADAAN sebuah kereta yang merempuh palang keselamatan Pintu 2 Istana Negara, awal pagi tadi. - IHSAN JSPTKL

Pemuda tidak mengaku mabuk, rempuh palang Istana Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu mabuk sehingga merempuh palang keselamatan Istana Negara, awal pagi tadi.

Tertuduh M. Kajen, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Pemuda itu yang masih bujang didakwa memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol dalam badan 166 milligram (mg) per 100 mililiter darah iaitu melebihi had dibenarkan. Kesalahan dilakukan pada pukul 3.50 pagi di Pintu 2, Istana Negara, Jalan Changkat Semantan, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun selain hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Bagaimanapun, peguam merayu agar diberikan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya masih menyambung pengajian peringkat ijazah.

“Anak guam saya merupakan anak tunggal dan bukan berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi. Jadi, saya merayu tertuduh dikenakan jaminan paling minimum kerana dia memberi kerjasama yang baik kepada polis selain tiada rekod jenayah,” katanya.

Mahkamah membenarkan Kajen diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari ini untuk serahan dokumen.

Pagi tadi, polis menahan seorang pemandu dipercayai mabuk selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kecuali kerosakan pada bahagian depan kereta dan palang keselamatan di pintu istana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI