KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang merempuh palang keselamatan Pintu 2 Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, di sini awal pagi tadi ditahan selepas dipercayai memandu kereta jenis Toyota Vios di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 3.30 pagi dan siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 21 tahun dari arah Bukit Damansara itu merempuh ‘bollard pole’ dan ‘barrier gate’ Pintu 2.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan kereta dan palang keselamatan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan dilakukan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), merakam percakapan dan menjalankan ujian pernafasan ke atas pemandu.
“Ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166mg/100ml, iaitu melebihi had ditetapkan,” katanya.
Siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapat arahan untuk menuduh pemandu tersebut di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11 pagi ini mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














