PUTRAJAYA – Orang ramai khususnya mereka yang gemar merujuk topik berkaitan agama di media sosial dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan kemunculan kumpulan individu yang dianggap ‘Mufti Google’ dan ‘Mufti TikTok’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, ini berikutan tidak semua maklumat atau persoalan yang diperoleh di hujung jari adalah tepat dan muktamad.
“Kita sedar cabaran ini sukar dikawal sepenuhnya, namun kerjasama pelbagai pihak amat penting untuk menyekat penyebaran dan pada masa sama menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat.
“Tidak semestinya apa yang berada di hujung jari itu benar. Rujuk kepada Jakim atau pihak berkuasa agama negeri sekiranya ada kekeliruan,” katanya ketika ditemui selepas Program Temu Bual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di sini hari ini.
Susulan itu, katanya, Jakim akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan agensi berkaitan bagi memantau dan mengawal kandungan digital yang mencurigakan. – KOSMO! ONLINE














