AMPANG JAYA – Seorang lelaki bertindak membuat laporan palsu dengan mendakwa dirinya disamun di Jalan Tanjong 1 di sini, Isnin lalu gara-gara mahu mengelak membayar duit milik majikan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata, lelaki itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.06 pagi, mendakwa disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah.
“Pengadu mendakwa pembonceng motosikal terbabit mengacukan sebilah pisau ke arah pinggang sebelum melarikan beg silang yang diletakkan di dalam raga motosikal miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, hasil siasatan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari hari sama mendapati kejadian samun tersebut tidak pernah berlaku dan laporan yang dibuat adalah palsu.
“Siasatan mendapati dakwaan barangan peribadi serta wang tunai milik majikannya berjumlah RM5,000 dirampas adalah tidak benar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














