SEKEMBALINYA jemaah haji atau umrah ke rumahnya, ramai yang menyambut kepulangan mereka. Tidak kurang juga sebahagian orang meminta doa daripada mereka. Persoalannya, wajarkah meminta doa daripada mereka?
JAWAPAN: Kebiasaannya, sebahagian masyarakat sering meminta kepada mana-mana peribadi yang dianggap baik untuk mendoakan mereka. Perkara ini juga diamalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat RA. Hal ini didapati ketika Saidina Umar al-Khattab RA mendapat keizinan Nabi SAW untuk menunaikan umrah, lalu baginda SAW bersabda: “Janganlah kamu melupakan kami dalam doamu wahai saudaraku.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis di atas membahaskan bahawa terdapat galakan untuk meminta doa daripada orang-orang Islam yang lain, meskipun orang meminta doa lebih mulia daripada orang berdoa.
Selain itu, amalan mengharapkan manfaat doa daripada saudara seislam amatlah dianjurkan berbanding dengan doa diri sendiri. Ini kerana berlaku kebimbangan akan kelalaian dalam amal ibadah diri sendiri. Sedangkan, diharapkan bahawa manfaat doa daripada saudara seislam dapat diperoleh kerana keikhlasan amal ibadahnya.
Nabi SAW menganjurkan umat Islam agar saling mendoakan antara satu sama lain kerana doa bukan sahaja menjadi pengikat ukhuwah dan lambang kasih sayang sesama mukmin, malah ia juga adalah satu bentuk pengamalan sunah yang menjadi lambang penjagaan agama.
Seruan ini menghidupkan amalan ukhrawi yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu, amalan saling mendoakan turut mengukuhkan kesatuan sosial dalam kalangan umat Islam melalui hubungan berasaskan doa, empati, dan kasih sayang.
Ia turut berperanan sebagai tarbiah ruqiyyah yang mendidik umat agar tidak bersifat individualistik, sebaliknya mengamalkan solidariti rohani dalam membina masyarakat harmoni dan berakhlak.
Salah satu peribadi yang dianggap baik untuk meminta doa adalah orang yang balik daripada mengerjakan haji atau umrah.
Hal tersebut sememangnya digalakkan kerana doa orang yang balik daripada mengerjakan haji atau umrah akan dikabulkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang berperang di jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu rasmi Allah. Ketika Allah memanggil mereka, mereka menjawab panggilan-Nya. Sehinggalah mereka meminta kepada-Nya, Allah mengabulkan permintaan mereka. (Riwayat Ibnu Majah)
Adapun hukum meminta doa daripada orang yang balik daripada haji adalah sunat.
Begitu juga sunat bagi orang yang naik haji untuk mendoakan keampunan orang lain yang tidak melakukan haji, walaupun orang tersebut tidak memintanya.
Berdoa untuk seseorang tanpa pengetahuannya melambangkan keikhlasan yang tinggi dan dikurniakan ganjaran yang sama oleh Allah SWT.
Seseorang yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia akan memperoleh doa sama daripada malaikat.
Apatah lagi doa yang dipanjatkan dengan ikhlas seluruh umat Islam akan diberi pahala dan diperkenankan oleh Allah SWT.
Oleh sebab itu, sebahagian ulama salaf apabila ingin berdoa untuk diri sendiri, maka mereka akan mendoakan saudaranya dengan doa yang sama.
Kesimpulannya, meminta doa daripada orang yang balik haji dan umrah adalah wajar kerana mempunyai asas dalam Islam.
Pertama, Nabi SAW menganjurkan untuk meminta doa daripada orang-orang Islam yang lain.
Kedua, Allah SWT mengabulkan doa orang yang mengerjakan haji dan umrah.
Ketiga, hukum meminta doa orang yang balik daripada haji adalah sunat. Keempat, berdoa untuk saudara seislam tanpa pengetahuannya lebih mustajab.














