SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 antara 2024 hingga tahun lalu.
Pendakwaan terbaharu itu menjadikan keseluruhan penerimaan hasil aktiviti haram yang dihadapinya kini mencecah RM2.26 juta, termasuk empat pertuduhan yang dihadapinya semalam di Mahkamah Kuala Lumpur.
Muhammad Hafizuddeain, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Hafizuddeain telah menerima hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM145,000 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di Ampang Point antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan supaya tertuduh dibenarkan jaminan sama seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Pendakwaan turut memohon kes dipindahkan untuk dibicarakan secara bersekali dengan empat pertuduhan dihadapinya di mahkamah itu.
Peguam Aizul Rohan Anuar mewakili tertuduh tidak membantah cadangan dikemukakan tersebut.
Mahkamah kemudiannya membenarkan semua cadangan daripada pihak pendakwaan termasuk syarat tambahan
yang telah diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2 juta di hadapan di hadapan Hakim Azura Alwi. – KOSMO! ONLINE














