WELLINGTON – Perkhidmatan kecemasan New Zealand sedang bertungkus-lumus mencari sejumlah mangsa termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah tapak perkhemahan di Pulau Utara, lapor akhbar The Guardian.
Menteri Kecemasan, Mark Mitchell berkata, beberapa bahagian pantai timur kelihatan seperti ‘zon perang’, dengan helikopter dikerahkan untuk menyelamatkan keluarga yang berlindung di atas bumbung daripada banjir, manakala darurat tempatan diisytiharkan di lima wilayah di seluruh Northland dan East Cape.
Ia berpunca daripada hujan lebat dengan rekod tertinggi yang turun selama beberapa hari.
Tanah runtuh itu berlaku pagi ini di sebuah tapak perkhemahan di kawasan tumpuan pelancong, Gunung Maunganui di pantai timur.
Mitchell mengesahkan bahawa seorang kanak-kanan adalah antara mangsa yang tidak dapat dikenal pasti keadaan mereka.
“Semua orang sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan penyelesaian terbaik yang mungkin, tetapi ia adalah situasi yang sangat sukar dan mencabar,” katanya.
Jurucakap Bomba dan Kecemasan NZ, William Pike berkata, orang pertama yang berada di tempat kejadian mendengar jeritan meminta bantuan dari dalam tanah runtuh.
“Orang ramai cuba masuk ke dalam runtuhan dan terdengar beberapa suara,” katanya.
Saksi-saksi memberitahu saluran berita tempatan bahawa mereka terdengar bunyi yang sangat kuat sebelum melihat sebahagian besar lereng bukit menimbus tapak perkhemahan.
Tanah runtuh itu menimpa beberapa van perkhemahan (campervan) dan blok pancuran mandian di kem tersebut.
“Walaupun masih terdapat pergerakan tanah di kawasan itu, anggota kecemasan sedang melakukan misi menyelamat,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis, Tim Anderson kepada pemberita di tempat kejadian.
“Saya tidak dapat memastikan angka (orang hilang) buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan adalah angkanya satu digit,” katanya seperti laporan agensi berita AFP.
Tauranga iaitu bandar paling hampir dengan Gunung Maunganui, menerima hujan sebanyak 295 milimeter dalam tempoh 30 jam hingga pukul 6 pagi tadi (waktu tempatan), sebelum tanah runtuh melanda sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan). – AGENSI














