BENTONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepentingan pendidikan asas, nilai keimanan dan pembangunan teknologi sebagai asas untuk membentuk generasi muda yang cemerlang dan berakhlak mulia.
Beliau berkata, iman dan keyakinan adalah titik permulaan bagi setiap usaha pendidikan, manakala ilmu dan nilai menjadi pelengkap bagi membentuk manusia yang berkualiti.
“Anak muda dilatih bukan sekadar pengetahuan semata-mata, tetapi rohnya juga perlu diperkukuh agar anak muda bangkit dengan akhlak dan disiplin yang tinggi.
“Pendidikan bukan sekadar untuk mengejar akademik, tetapi juga memupuk nilai, akhlak, dan kerajinan. Anak muda yang beriman dan berilmu mampu meneroka teknologi baru, serta memperjuangkan kebaikan dalam masyarakat,”katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Sekolah Agama Rakyat Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) Saidatina Aisyah di Taman Harmoni di sini hari ini.
Sempena majlis itu, Anwar turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pembangunan KAFA Saidatina Aisyah.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memberi nasihat dan memupuk semangat belajar dalam kalangan anak-anak.
“Usaha ini bukan sahaja terhad di sekolah, tetapi mesti dipupuk dalam keluarga. Anak-anak perlu dibimbing dengan nilai yang betul agar mereka bukan sekadar bijak, tetapi juga berakhlak mulia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














