SEREMBAN – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol pelajar perempuan berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nur Hafiz Noor Hamidi, 22, yang ketika kejadian berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lebih kurang pukul 11.35 malam di Jalan Sungai Gadut berhampiran sebuah stesen minyak pada 9 Disember 2023.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bercagar dengan syarat tambahan.
Nurul Balkis berkata, hubungan tertuduh dengan mangsa adalah kenalan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang minimum kerana ayahnya yang menghidap kanser paru-paru baru keluar dari hospital manakala neneknya dalam keadaan tenat.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mac depan. – KOSMO! ONLINE














