fbpx
Tetamu memilih menu masakan yang dihidangkan pada prebiu bufet Ramadan di Citrine Hall, Wisma Golden Eagle Realty, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kopetro  pelbagaikan perniagaan, kurang bergantung aktiviti ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) kini mengorak langkah baharu dengan mempelbagaikan perniagaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti berasaskan ahli, sejajar dengan perubahan ekonomi dan keperluan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Husaini Hassan berkata, sebelum ini koperasi itu banyak melibatkan aktiviti dalam kalangan ahli sahaja tetapi kebergantungan kepada satu segmen tidak boleh berterusan. 

“Jadi, kami melihat keperluan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan agar koperasi kekal relevan, antara segmen baharu yang diberi tumpuan termasuk perkhidmatan ar-Rahnu, makanan dan minuman (F&B), hospitaliti serta penyelenggaraan bangunan sebagai usaha menjana pendapatan bukan teras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prebiu bufet Ramadan Citrine Hall, Wisma Golden Eagle Realty di sini baru-baru ini.

Selain itu, beliau menerangkan, Kopetro akan memfokuskan kepada usaha untuk menambahbaik kecekapan operasi dan pengurusan kos supaya setiap pelaburan mampu memberikan pulangan yang lebih mampan kepada ahli.

“Segmen F&B berpotensi menjadi penyumbang pendapatan yang konsisten sekiranya diurus secara berskala dan berterusan. Melalui pendekatan ini, kami bukan sahaja menambah sumber pendapatan, malah memperkukuh jenama anak syarikat Kopetro,” katanya.

Tambah beliau, Kopetro akan terus menilai peluang pelaburan baharu yang berdaya maju termasuk dalam sektor perkhidmatan dan hospitaliti bagi mengukuhkan kedudukan kewangan koperasi serta memastikan kepentingan ahli terus terpelihara.

“Keutamaan kami adalah memastikan koperasi ini diurus secara profesional dan setiap pelaburan memberi pulangan yang stabil dalam jangka panjang tanpa terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pakej Bufet Ramadan Jelajah Rasa by Koo Ehh, ia akan berlangsung dari 21 Februari hingga 18 Mac yang menampilkan lebih 150 pilihan menu merangkumi masakan tempatan dan antarabangsa pada harga tawaran bermula RM159++ untuk dewasa dan RM129++ bagi kategori kanak-kanak dan warga emas.

Ahmad Husaini menjelaskan, lokasi  Citrine Hall, Wisma Golden Eagle Realty yang strategik dan terletak hanya 100 meter dari KLCC akan memberi pilihan yang mudah kepada warga kota khususnya golongan profesional yang ingin berbuka puasa selepas waktu bekerja. 

“Berbeza daripada kebanyakan bufet Ramadan yang sering menampilkan menu makanan kampung dan hidangan tradisi semata-mata, Jelajah Rasa by Koo-Ehh mengetengahkan konsep kepelbagaian rasa dari pelbagai negara, menawarkan kelainan yang segar kepada pengunjung yang ingin mencuba sesuatu di luar kebiasaan,” ujarnya. 

Tambah beliau, menu iftar akan disediakan oleh Kopetro setiap hari yang menyajikan kepelbagaian hidangan yang merangkumi masakan tempatan, Timur Tengah, Thailand, Itali, Korea dan Cina, selain pilihan makanan laut, aneka pencuci mulut serta hidangan tradisional. 

Antara menu istimewa yang diketengahkan ialah Grilled Tuna, sebagai tarikan utama yang melengkapkan keseluruhan variasi menu bufet sepanjang tempoh Ramadan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI