fbpx
Wan Shaharuddin ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya mohon kes bekas PTD, isteri dipindah ke KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya, Salwani Anuar dijangka dipindahkan dan dibicara di Mahkamah Kuala Lumpur bagi menjimatkan masa, kos selain mempercepatkan proses keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya akan memohon kesemua pertuduhan yang turut difailkan di Shah Alam dan Kuala Terengganu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur khususnya Mahkamah 9.

Menurutnya, langkah itu dibuat atas prinsip ‘expedient of justice’ bagi memastikan pengendalian kes secara lebih teratur dan efisien memandangkan ia melibatkan beberapa pertuduhan dan jumlah wang yang besar.

“Semua kes akan digabungkan dan dibicarakan di Kuala Lumpur. Ini bagi menjimatkan masa, kos dan mempercepatkan prosiding mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

Wan Shaharuddin berkata, setakat ini bekas PTD itu dan isteri ketiganya berdepan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, Muhammad Hafizuddeain, 58, dijangka berdepan dua lagi pertuduhan di Shah Alam, manakala isterinya pula akan didakwa di Kuala Terengganu.

“Semua wang terlibat adalah dana haram dan jumlah keseluruhan mencecah RM3 juta,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu risiko tertuduh melarikan diri, beliau berkata, dalam kes rasuah yang membawa hukuman berat sehingga 20 tahun penjara, kebarangkalian tersebut tidak boleh diketepikan.

“Disebabkan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat ikat jamin,” katanya.

Tambahnya, walaupun Muhammad Hafizuddeain berkhidmat selama 40 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia termasuk di luar negara, perkara itu tidak menafikan keperluannya untuk menghadapi pertuduhan sebagai tertuduh.

“Ini bukan kes pertama membabitkan pegawai kanan tentera. Setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan perlu melalui proses perbicaraan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.12 juta. Pegawai itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Salwani, 27, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000 yang dihadapinya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin masing-masing RM250,000 dan RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI