BAU – Tentera Darat (TD) melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan bernilai lebih setengah juta ringgit dalam operasi di Serikin, di sini semalam.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas pihaknya memintas sebuah lori tiga tan yang membawa muatan rokok seludup sebelum meloloskan diri ke negara jiran pada pukul 11.35 pagi.
“Anggota bertugas mengesan lori itu dipandu laju dalam keadaan mencurigakan di satu laluan haram menghala ke sempadan negara jiran. Pihak kami mengepung laluan itu dan menahan kenderaan tersebut beberapa kilometer sebelum sampai ke sempadan antarabangsa.
“Tindakan itu berjaya menggagalkan cubaan sindiket yang menggunakan waktu puncak untuk menyeludup keluar barangan,” katanya.
Pemeriksaan ke atas lori itu menjumpai rokok yang disorokkan di sebalik kanvas. Pihak TD merampas sebanyak 12,180 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM517,200 dan menahan pemandu lori lelaki tempatan berusia 51 tahun.- KOSMO! ONLINE














