MELAKA – Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan bekas Naib Canselor MUCM bagi lantikan ketua perunding akademik dengan bayaran RM20,000, lima tahun lalu.
Tertuduh, Prof. Dr. G. Jayakumar, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pensyarah kanan di MUCM telah memperdayakan Naib Canselor MUCM bagi melantik pensyarah Universiti Perdana Kuala Lumpur pada waktu itu sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik di MUCM dengan bayaran sebanyak RM20,000.
Ia bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan untuk MUCM, walaupun tertuduh mengetahui yang lantikan tersebut adalah melanggar kontrak kerja dan Universiti Perdana.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat MUCM dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Mei 2021.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah turut menetapkan tarikh 9 Mac sebagai sebutan semula kes.














