KOTA BHARU – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang membangunkan sistem pangkalan data status pemandu yang bekerja dengan lebih 60,000 pengendali syarikat bas dan lori dalam usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan termasuk pematuhan industri pengangkutan awam darat.
Timbalan Ketua Pengarah APAD, Masita Mat Isa berkata, sebanyak 10,466 syarikat pengendali bas dan 40,688 pengendali kenderaan berat lain akan bakal terlibat dalam pembangunan sistem itu.
Menurutnya, sistem tersebut diintegrasikan bersama pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
“Buat masa ini, kita sedang mendapat kelulusan daripada kerajaan terhadap segala proses bagi membolehkan sistem itu dibangunkan. Sekiranya dapat disegerakan, kita boleh mulakan usaha tersebut pada tahun ini juga. Lagi cepat, lagi bagus.
“Melalui sistem itu, syarikat pengendali kenderaan berat dan orang ramai boleh mendapat kepastian sama ada seseorang individu layak memandu kenderaan berat atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Mutiara Sihat Sejahtera: Saya Sihat, Saya Selamat di Panchor di sini hari ini.
Masita memberitahu, syarikat pengendali hanya perlu memasukkan nama pada kad pemandu dan sistem itu akan mempaparkan status layak memandu atau tidak.
Menurutnya, hanya status layak memandu atau tidak dipaparkan kepada orang ramai, manakala perincian lain berkaitan pemandu diintegrasikan kepada sistem pihak berkuasa terlibat.
“Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi tempoh 2007 hingga 2014 mendapati 66 peratus punca kemalangan jalan raya adalah disebabkan faktor manusia berbanding faktor jalan dan persekitaran (20 peratus) serta kenderaan (14 peratus).
“Dapatan itu jelas menunjukkan aspek sikap, disiplin, kesihatan dan keletihan pemandu menjadi faktor kritikal punca kemalangan jalan raya. Berdasarkan statistik pula, sejumlah 659 tindakan penggantungan dan pembatalan lesen diambil pada tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














