fbpx
Syarikat Belanda, SAIA Agrobotics memperkenalkan rumah hijau automatik pertama dunia yang mana pokok atau tanaman tomato yang akan bergerak dan pergi kepada robot untuk dilakukan imbasan kondisi tumbuhan itu atau dituai hasilnya.

Teknologi terkini pertanian, pokok datang kepada robot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI pertanian global kini melalui fasa transformasi apabila teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) semakin diterapkan dalam proses penanaman, sekali gus menjadi sebahagian daripada pengeluaran makanan.

Seiring dengan keperluan untuk meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, syarikat pemula teknologi, SAIA Agrobotics yang berpangkalan di Belanda muncul dengan idea pertanian baharu.

Bergerak sebagai antara pemain utama yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam penanaman automatik berasaskan robotik, SAIA Agrobotics bergerak agresif setelah memperoleh pembiayaan bernilai AS$10 juta (RM40 juta) untuk merealisasikan teknologi tersebut pada tahun ini.

Berbanding membangunkan teknologi dengan kaedah automasi tradisional iaitu menggunakan sistem robotik di dalam rumah hijau, sebaliknya syarikat tersebut mengetengahkan konsep ‘pokok datang kepada robot’.

Ini termasuk penyemaian benih, penjagaan tanaman, pemantauan pertumbuhan dan penuaian hasil dengan ketepatan tinggi menerusi campur tangan manusia yang minimum.

Teknologi itu menggunakan mobile plant system yang merupakan kaedah penanaman menegak, di mana setiap pokok dapat ‘berjalan’ secara automatik ke stesen robotik.

Pokok yang tiba ke stesen robotik pusat akan disaring menggunakan kamera penglihatan komputer dikuasakan AI untuk mengenal pasti waktu tuaian dan tahap kesihatan pokok.

Alat pengimbas 360 darjah pula akan memantau keseluruhan sudut pokok untuk mendapatkan data tentang keadaan daun, buah dan pokok, sama ada perlu dipangkas atau tidak.

Sementara itu, penggunaan penderia, visi komputer dan algoritma pembelajaran mesin, sistem SAIA mampu mengenal pasti keadaan tanaman secara masa nyata serta melaraskan keperluan air, nutrien termasuk cahaya secara automatik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas SAIA Agrobotics, Dr. Ruud Barth, teknologi itu telah dibentangkan pada Sidang Kemuncak EU-Startups 2025.

“Kami telah menyiapkan rumah hijau automatik pertama dunia, dengan tumbuhan pergi kepada robot pada setiap minggu untuk pengimbasan dan penuaian,” ujarnya.

POKOK tomato ditanam secara tergantung bagi mengehadkan pembesaran.

USAHA itu disasarkan bagi membantu peningkatan hasil tanaman sebanyak 20 peratus dengan pengurangan tenaga kerja buruh di rumah hijau sebanyak 50 peratus.

“Berdasarkan angka yang kita lihat, pendekatan tanaman kepada robot merupakan langkah besar dalam menyediakan bekalan makanan tempatan, berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam portal, EU-Startups.

Teknologi teras SAIA Agrobotics itu tertumpu kepada sistem robotik modular yang digabungkan dengan perisian pintar, di mana robot direka untuk beroperasi dalam persekitaran penanaman terkawal seperti rumah hijau dan ladang dalaman (indoor farming).

Cara tersebut dilihat mampu menjadi solusi pertanian mampan di kawasan bandar, sekali gus mengubah landskap petani yang tidak terlalu bergantung kepada tenaga konvensional.

Syarikat tersebut menggunakan sistem Inverted Greenhouse Model iaitu model rumah hijau terbalik yang bukan sahaja memberi fokus kepada sistem robotik, bahkan mampu mengurangkan penglibatan tenaga kerja.

Menurut laporan kajian Universiti Wageningen, pengurangan tenaga kerja secara purata selepas menggunakan sistem tersebut dianggarkan sebanyak 50 peratus melibatkan seluruh operasi rumah hijau.

Uniknya, Inverted Greenhouse Model menggunakan konsep gantung dan bergerak atau hanging tracks iaitu pokok tidak ditanam di atas tanah, sebaliknya tergantung dari atas pada landasan robot yang bergerak.

Ini menjadikan setiap robot yang mengendalikan pokok berfungsi seperti polibag bagi memastikan tanaman terus berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh semaian dan tanaman.

Menerusi percubaan awal, SAIA Agrobotics menggunakan tanaman tomato dengan kaedah penanaman dilakukan tanpa substrat atau tanah sebagai medium.

PARA pekerja SAIA bergambar di dalam rumah hijau yang menempatkan tanaman tomato.

Akar pokok akan dibiarkan terdedah atau bare roots untuk memudahkan pemantauan dan pergerakan dilakukan tanpa sebarang halangan.

Langkah itu juga membolehkan setiap pokok membesar mengikut had ditetapkan, kekal pendek serta sentiasa dalam keadaan menegak bagi memudahkan pergerakan ke stesen pusat.

Kaedah tanaman menegak dan pendek jelas berbeza dengan proses tanaman pokok tomato komersial yang boleh memanjang sehingga 30 meter.

Menurut IOT Plus, pokok yang ditanam secara menegak kemudian akan bergerak mengikut jadual (sekali seminggu) ke stesen robotik pusat untuk melalui proses imbasan.

Sensor akan mengenal pasti bahagian pemangkasan daun dan penuaian secara automatik, sebelum bergerak semula ke posisi asal iaitu zon pembesaran.

Melalui proses imbasan, pokok bukan sahaja melalui kawasan pemeriksaan tetapi turut disiram seperti konsep mesin basuh kereta automatik.

Ujar Barth, meskipun tumbuhan tersebut menggunakan sumber cahaya matahari semula jadi, namun sistem SAIA turut dilengkapi dengan lampu LED tambahan sebagai pemangkin pertumbuhan.

“Belanda mempunyai musim sejuk panjang yang mengakibatkan cahaya matahari tidak mencukupi untuk proses fotosintesis secara optimum.

“Disebabkan itu, lampu LED diletakkan bagi memastikan pokok menerima jumlah cahaya yang sama setiap hari sepanjang tahun tanpa bergantung kepada cuaca.

“Spektrum LED akan diselaraskan dengan kadar tertentu menyamai cahaya matahari.

“Sementara itu, cahaya biru digunakan untuk mengawal saiz pokok agar kekal pendek dan padat, selain menguatkan struktur daun,” katanya.

Tidak hanya menggunakan cahaya berwarna biru, LED yang ada turut dilengkapi dengan pencahayaan warna merah bagi mempercepatkan proses berbunga dan pembuahan.

“Kandungan spektrum LED juga dapat meningkatkan kandungan vitamin, gula dan antioksidan dalam buah, sekali gus menjadikan tomato atau sayuran lain lebih manis serta berkhasiat.

“LED turut menghasilkan haba yang sangat rendah berbanding lampu HPS (Natrium Tekanan Tinggi) tradisional.

“Jadi, ia tidak mengganggu suhu dalam rumah hijau dan boleh diletakkan lebih dekat dengan pokok tanpa membakarnya,” ujarnya.

Teknologi itu juga membolehkan SAIA menanam dan menuai 52 minggu setahun tanpa henti, sekali gus meningkatkan hasil tanaman sehingga 20 peratus.

Pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu mengurangkan pembaziran sumber seperti air dan baja yang sering menjadi isu utama dalam pertanian konvensional.

Selain itu, teknologi automasi turut berpotensi mengurangkan kesan karbon hasil daripada penggunaan jentera berat dan input kimia berlebihan.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menjelaskan bahawa pembiayaan yang diperoleh itu dapat mempercepatkan pembangunan produk, serta memperluas pasukan kejuruteraan dan penyelidikan untuk melaksanakan projek perintis tersebut.

“Syarikat menyasarkan untuk mengembangkan teknologi ini ke pasaran antarabangsa, khususnya di kawasan yang berdepan kekurangan tenaga kerja pertanian dan tekanan keselamatan makanan.

“Pemerhati industri melihat langkah ini tepat pada masanya kerana sektor pertanian global sedang berdepan pelbagai cabaran struktur.

“Kekurangan buruh pertanian, peningkatan kos operasi dan ketidakstabilan cuaca telah mendorong banyak pengusaha mencari penyelesaian teknologi yang lebih cekap dan berdaya tahan,” katanya.

Menurut seorang pensyarah robotik pertanian Belanda, Dr. Pieter van der Veen, sokongan pelaburan yang kukuh dan permintaan pasaran semakin meningkat mampu membantu SAIA untuk berkembang.

“Kejayaan syarikat ini bukan sahaja akan menentukan hala tuju pada masa depan, malah berpotensi menjadi penanda aras kepada evolusi pertanian automasi di peringkat global.

“Kemunculan SAIA mencerminkan perubahan paradigma dalam sektor pertanian daripada kaedah tradisional kepada sistem pintar berasaskan teknologi tinggi,” katanya.

Pembiayaan awal itu secara tidak langsung dapat membantu SAIA selaku syarikat pemula untuk bergerak secara optimis dan meneruskan misi meningkatkan skala perniagaan dalam bentuk komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN