fbpx
JPJ menyita Nissan Skyline ER34 yang disyaki bergerak tanpa LKM sah dalam pemeriksaan di Taman Tengku Maheran, Jitra semalam. - Foto ihsan JPJ Kedah

Nissan Skyline ER34 disita, 5 tahun tanpa LKM sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Tindakan seorang pemuda berusia 25 tahun memandu kereta berprestasi tinggi jenis Nissan Skyline ER34 disyaki tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah berakhir apabila dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.

Kereta tersebut ditahan dan disita dalam pemeriksaan JPJ di Kilometer 9, Jalan Darul Aman, Taman Tengku Maheran kira-kira pukul 6.49 petang.

Pemuda terbabit merupakan anak kepada pemilik Nissan Skyline itu dan kereta berkenaan dipercayai bergerak tanpa LKM sah selama lima tahun.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta itu turut tiada perlindungan insurans sah serta menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Katanya, alasan yang diberikan adalah masalah kewangan dan jarang menggunakan kereta berkenaan, selain perlu membawa kereta ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kerana tarikh luput LKM telah melebihi tiga tahun.

“Pemilik mendakwa anaknya memandu kereta itu hanya untuk memanaskan enjin dan mengambil adik di sekolah,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, JPJ bertindak mengeluarkan Notis Sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Notis JPJ (P) 22 terhadap pemandu terbabit.

“Kita ingin menegaskan bahawa tiada kompromi atau layanan istimewa diberikan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan termasuk terhadap kenderaan berprestasi tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan demi keselamatan semua pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN