KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada syarikat kontraktor pembersihan supaya tidak menggaji warga asing sebagai pemandu lori sampah atau motosikal tanpa mematuhi syarat undang-undang yang ditetapkan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik operasi tahun lalu, kebanyakan kenderaan pembersihan khususnya lori sampah didapati dipandu oleh warga asing yang digajikan oleh kontraktor terlibat.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat-syarikat kontraktor berkaitan bagi menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi menghentikan amalan tersebut.
“Kami telah menegaskan supaya kontraktor tidak menggaji warga asing sebagai pemandu sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“Gajikan pekerja yang mempunyai status sah dan lesen memandu yang diiktiraf pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sidang akhbar berkaitan Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa), di sini hari ini.
Hamidi menegaskan, JPJ tidak menghalang warga asing daripada memandu kenderaan di Malaysia, namun mereka wajib mematuhi semua peraturan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














