fbpx
Poster yang dimuat naik oleh PHM di laman media sosial.

Tabiat meriba ‘laptop’ boleh jejas kualiti sperma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lelaki yang gemar menggunakan komputer riba di atas paha atau riba diingatkan supaya mengubah tabiat tersebut kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesuburan dan kualiti sperma.

Menurut satu hantaran dimuat naik oleh Public Health Malaysia (PHM) di media sosial, haba yang terhasil daripada komputer riba berpotensi menyebabkan peningkatan suhu pada bahagian skrotum, sekali gus mengganggu proses penghasilan sperma.

Jelas PHM, testis diciptakan berada di luar badan kerana ia memerlukan suhu lebih rendah sekitar dua hingga empat darjah Celsius berbanding suhu badan bagi menghasilkan sperma yang sihat dan aktif.

“Apabila komputer riba yang panas diletakkan terus di atas riba, ia boleh menyebabkan fenomena dikenali sebagai scrotal hyperthermia atau peningkatan suhu skrotum,” ujarnya.

Tambahnya, peningkatan suhu skrotum sebanyak satu darjah Celsius sahaja sudah memadai untuk menjejaskan pembentukan sperma, lebih-lebih lagi jika komputer riba digunakan dalam tempoh yang lama.

Antara kesan yang boleh berlaku termasuk penurunan jumlah sperma, pergerakan sperma menjadi perlahan serta perubahan bentuk sperma yang tidak normal.

PHM turut menjelaskan, tabiat ini dipercayai menjadi antara faktor penyumbang kepada masalah kesuburan dalam kalangan pasangan muda walaupun kedua-duanya kelihatan sihat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan komputer riba di atas meja atau sekurang-kurangnya meletakkan pelapik seperti bantal tebal atau cooling pad bagi mengelakkan haba terus mengenai paha.

“Komputer riba boleh diganti, tetapi kesihatan dan fungsi organ pembiakan adalah sesuatu yang perlu dijaga sebaiknya,” kata PHM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI