KUALA TERENGGANU – Seorang bekas jurutera yang sebelum ini mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk membeli barangan kemas menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd. Shahrani, 34, yang sepatutnya dijatuhi hukuman semalam menukar pengakuan kepada tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan percubaan menggunakan sebanyak 359 keping wang palsu bernilai RM50 yang mempunyai nombor siri sama. Perbuatan itu didakwa dilakukan Ahmad Faisal di sebuah kedai emas di Jalan Hiliran, Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada pukul 3.10 petang, 18 Disember 2025.
Kosmo! 6 Januari lalu melaporkan Ahmad Faisal mengaku salah atas tiga pertuduhan menggunakan wang palsu, cubaan mencuri dan memiliki peralatan mencetak wang palsu.
Sebelum ini, sebuah kedai emas di Chabang Tiga di sini nyaris kerugian RM30,000 apabila seorang ‘pelanggannya’ cuba membeli gelang tangan menggunakan wang palsu semalam. – KOSMO! ONLINE














