JITRA – Identiti dua mangsa yang ditemukan rentung di dalam kereta akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra arah utara awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Pang Seng Ching, 21, dan kekasihnya, Tan Hui Shan, 20.
Seng Ching yang merupakan pemandu kereta jenis Honda Civic itu beralamat di Pauh, Perlis, manakala Hui Shan dari Jelutong, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol.
“Kereta tersebut kemudian terbalik dan terbakar. Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian pemandu adalah kecederaan pada dada dan melecur teruk.
“Punca kematian penumpang pula adalah kecederaan melecur teruk serta akibat asap kebakaran kereta,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














