LONDON – Manchester United terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mendapatkan khidmat salah seorang pemain sayap terbaik di Eropah ketika ini gara-gara pemain mereka sendiri, Marcus Rashford.
Rashford ketika ini berstatus pemain pinjaman di Barcelona dengan kelab dari Sepanyol itu memiliki peluang mendapatkan khidmatnya secara tetap dengan nilai £26 juta (RM140.99 juta) pada musim panas nanti.
Bagaimanapun, Barcelona dilapor hanya sanggup untuk menandatangani Rashford pada harga £17 juta (RM92.19 juta) yang mungkin tidak akan dipersetujui oleh United ketika penyerang England itu bertegas hanya mahu berpindah ke Camp Nou untuk meneruskan kariernya.
United ketika ini sedang membuat perancangan untuk menjadikan Rashford sebagai umpan bagi mendapatkan khidmat pemain Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola.
PSG juga dikatakan sudah lama berminat untuk mendapatkan Rashford dan bersedia untuk bersetuju dengan tawaran pertukaran tersebut, namun keengganan pemain berusia 28 tahun itu menyulitkan keadaan.
Selain PSG, Atletico Madrid juga dilapor berminat untuk mendapatkan Rashford, namun pemain itu bertegas untuk hanya memilih Barcelona sebagai destinasi baharu kariernya secara tetap.
Situasi itu meletakkan United dalam tekanan ketika ini apabila beberapa gergasi Eropah termasuk Bayern Munich, Manchester City dan Chelsea dilapor sedang memantau secara dekat perkembangan Barcola ketika ini. – AGENSI














