MANCHESTER – Pengurus interima Manchester United, Michael Carrick mahu pemainnya menjadikan tahap permainan ketika menentang Manchester City sebagai penanda aras baharu bagi meneruskan baki saingan musim ini.
Walaupun kemenangan 2-0 ke atas The Citizens, kelmarin adalah aksi pertama Carrick bersama The Red Devils, beliau segera membuktikan kualiti membentuk skuad yang lebih ampuh dengan meraih dua gol menerusi Bryan Mbeumo dan Patrick Dorgu.
Carrick menjelaskan, para pemain kini berdepan cabaran untuk belajar mengenai cara untuk mengekalkan kualiti permainan yang sama dalam setiap perlawanan selepas ini untuk membolehkan mereka menjadi lebih stabil.
“Semestinya akan ada aksi yang kami tidak boleh jelmakan emosi yang sama seperti ditunjukkan dalam perlawanan ini. Jadi, ini adalah cabaran buat kami dan saya fikir kami perlu jadikan kualiti kali ini sebagai versi normal buat Manchester United.
“Kami semua faham tentang semua itu tetapi itulah tahap, standard dan jangkaan yang perlu kami penuhi. Konsistensi adalah kunci utama kepada apa juga kejayaan dan ini penting kerana kami akan hadapi satu lagi tugas berat selepas ini,” katanya.
Tiga mata kali ini menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan lepas hingga menyaksikan The Red Devils memecat Ruben Amorim dan ini adalah kemenangan kedua United di laman sendiri dalam aksi derbi sejak 2020.
“Permulaan yang hebat dan kami cukup gembira dengan kejayaan ini serta cara kami menyiapkan diri. Ini kerana City adalah pasukan hebat dan dibarisi pemain berbakat,” katanya. – AGENSI














