JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial Indonesia menunjukkan pasukan bomba dan penyelamat memecahkan tingkap sebuah kereta jenama Porsche selepas pemiliknya tertinggal kunci di dalam kenderaan itu, lapor laman berita Detik.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @infodepok menunjukkan beberapa anggota berusaha menarik tingkap kereta dengan menggunakan linggis (crowbar) sehingga pecah.
Pemilik Porsche Boxster dikenali sebagai Bop berkata, pintu itu tertutup selepas dia menghidupkan enjin dan keluar daripada kereta untuk mengucapkan selamat tinggal.
“Semua kunci tertinggal di dalam kereta. Saya mendapatkan bantuan daripada bomba selepas mencuba pelbagai cara dari pukul 1 pagi (waktu tempatan) sampai 6 pagi tetapi tiada yang berkesan.
“Saya menghubungi bomba untuk memecahkan tingkap kerana kerosakan itu adalah paling murah berbanding yang lain,” kata Bop. – AGENSI














