JADUAL padat apabila ‘bertempur’ dalam enam kejohanan serta pemburuan trofi musim ini bukanlah alasan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak beraksi dengan sepenuh jiwa di atas padang.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan telah menjulang trofi Piala Sumbangsih serta Piala FA, tetapi masih belum berpuas hati kerana masih berbaki empat lagi kejohanan yang perlu diharungi musim ini.
Kini, tumpuan dialihkan pada aksi pertama pusingan 16 terbaik saingan Piala Malaysia apabila dijadualkan bertemu skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Pengendali JDT, Xisco Munoz menegaskan pasukan harus mengekalkan ‘standard’ kelab dalam setiap kejohanan yang diharungi meskipun berdepan cabaran mengharungi jadual yang padat setiap minggu.
Kata Xisco, semua pemain mengharungi perlawanan dengan tenaga dan juga semangat juang tinggi dalam usaha meraih keputusan yang positif.
“Sudah tentu prestasi pasukan ada turun naik kerana mereka juga manusia biasa. Situasi bertambah sukar apabila kita perlu beraksi setiap tiga hari selain ada ketika perlu bertandang ke tempat lawan.
“Musim ini cabaran sangat sukar untuk mereka tetapi ini adalah JDT dan kita perlu terus bekerja keras. Pasukan perlu terus bergerak ke depan, kita mengharungi bulan yang sukar dan juga cabaran lebih besar menanti pada Februari.
“Jadi amat penting untuk kita meneruskan momentum supaya kita dapat tiba ke detik itu dengan tenaga maksimum,” katanya.
Selain saingan domestic Piala Malaysia dan Liga Super, JDT juga berentap dalam dua kejohanan peringkat antarabangsa iaitu Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selain Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).














