PETALING JAYA – Kandungan gula berlebihan dalam minuman tetap menarik ramai pelanggan meski sudah ditakutkan dengan kemungkinan penyakit kronik di kemudian hari.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, seorang peniaga tular menunjukkan cara membancuh minuman viral yang dipercayai mengandungi kandungan gula dan bahan manis berlebihan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi.
“Bila keluar video viral seorang peniaga tunjuk cara dia bancuh minuman ‘viral’, mula-mula letak aiskrim, selepas itu topping, gula, tambahan lagi bahan manis lain dan hujung-hujung tabur keju.
“Ramai yang tengok rasa tergamam. Ramai kata ‘tak sanggup nak minum’. Tapi dalam masa yang sama, benda macam ini tetap laku,” katanya.
Menurut PHM, makanan dan minuman manis memang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia dengan pencuci mulut berkuah.
“Kita bukan nak kecam mana-mana peniaga. Sebab realitinya, makanan manis memang dah lama jadi budaya Malaysia. Air kacang, cendol, sirap bandung, pencuci mulut berkuah, semua pun boleh jadi tinggi gula.
“Tapi, bila menu mula sampai tahap ‘melimpah ruah’, kita kena berani cakap satu benda yang jujur iaitu keterlaluan,” ujarnya.
Tambahnya, berniaga makanan bukan sekadar soal sedap dan laku, tetapi tanggungjawab kepada peniaga untuk tidak memudaratkan kesihatan dan memberi manfaat.
Sehubungan itu, PHM menyeru orang ramai agar mengamalkan sikap berpada-pada dan tidak menjadikan pengambilan makanan manis sebagai rutin harian atau ganjaran setiap kali berasa penat dan tertekan.
“Gula berlebihan bukan sekadar menaikkan bacaan gula darah sekejap. Tetapi perlahan-lahan menjejaskan kesihatan sehingga satu hari nanti kita sedar bahawa ‘sedap’ itu sebenarnya ada harga yang sangat mahal,” ujarnya. –KOSMO! ONLINE














