PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis disyaki memukul seorang kanak-kanak menggunakan rotan dalam kejadian di daerah ini, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.21 petang semalam.
Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah dan suspek merupakan bapa saudara kepada mangsa yang berumur antara lapan hingga 11 tahun.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa bertindak melawan ibu kepada suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
Sehubungan itu, saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Irfan Emir Mohd. Alwi di talian 016-537 9507 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video berdurasi 35 saat yang memaparkan kanak-kanak dipukul menggunakan rotan serta dibaling kerusi tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE














