PETALING JAYA – Seorang ibu menerima pujian orang ramai selepas kejujurannya mengeluarkan anak daripada senarai murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, apabila kewangan keluarganya semakin stabil.
Menerusi hantaran Thread Ainaaimi11, wanita tersebut memuat naik gambar surat diserahkan kepada pihak sekolah bagi mengeluarkan anaknya daripada senarai murid yang menerima RMT.
“Setelah empat tahun berturut-turut anak dapat RMT dan bantuan-bantuan yang sekolah beri.
“Kita akhirnya dapat berikan pada keluarga yang betul-betul memerlukan pula. Terima kasih guru besar dan guru-guru,” katanya pada hantaran berkenaan.
Menjawab soalan di ruangan komen, Ainaaimi11 memberitahu, pihak sekolah memintanya menyerahkan surat bagi memudahkan audit dilaksanakan.
“Kena buat, cikgu dua kali follow up (tanya) pasal surat sebab ada audit katanya nanti. Jadi bila ada hitam putih macam ni, senang,” katanya.
Menerusi surat berkenaan, ibu itu memberitahu, dia mahu mengeluarkan nama anaknya berkuat kuasa 12 Januari lalu selepas keadaan kewangan keluarganya lebih stabil menerusi pendapatannya bersama suami.
Pada ruangan komen, orang ramai meninggalkan maklum balas positif selain menyifatkan tindakan ibu tersebut wajar dicontohi.
“Tahniah puan kerana bersikap jujur dan amanah. Semoga dipermudah segala urusan puan,” komen Cikgu Gja.
“Kita perlukan lebih ramai rakyat yang jujur macam ni. Beri kepada yang memerlukan. Semoga puan dan keluarga diberikan kesihatan yang baik dan rezeki melimpah ruah,” kata Reefsuhaile.
“Bagus lah. Bagi peluang anak-anak orang yang lebih memerlukan dapat RMT. Jangan makan hak murid lain. Makanan jadi darah daging, anak nak belajar, berkat,” kata Toymachine10. – KOSMO! ONLINE














