fbpx
ADLY menyantuni penduduk yang hadir pada Majlis Makan Malam Yee Sang di Kampung Permai Machap Umboo Baru, Melaka, malam tadi.

15 pegawai terlibat ‘yeye’ berdepan tindakan Mahkamah Tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Jawatankuasa siasatan kini sedang menyiasat 15 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dikenal pasti terbabit dalam budaya tidak bermoral ‘yeye’ sebelum menentukan tindakan tegas termasuk pendakwaan di Mahkamah Tentera, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata setiap kes sedang dikendalikan secara teliti supaya pegawai terlibat tidak terlepas daripada hukuman sekiranya didapati melanggar peraturan disiplin yang jelas dan mencemarkan budaya ketenteraan.

“Kita tahu dalam sistem ketenteraan kita ada Mahkamah Tentera dan mereka yang terbabit akan diberikan pengadilan di situ.

“Jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan bagi meneliti setiap kes secara teliti dan pegawai terbabit akan diberikan peluang menjawab tuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina 2006 bertemakan ‘Gadis Bunga’ di Kampung Permai Machap Umboo Baru di sini, malam tadi.

Tambahnya, budaya hedonisme sama sekali tidak boleh diterima dan kementerian komited membentuk budaya berintegriti dalam kalangan warga tentera meskipun perubahan budaya dalam organisasi memerlukan masa.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa pengorbanan dan jasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang seramai 100,000 orang, selain kira-kira 300,000 veteran yang pernah berkhidmat mempertahankan negara tidak sepatutnya dipertikaikan hanya kerana kesalahan segelintir daripada mereka.

Ujarnya, sebahagian besar anggota ATM sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kepentingan keluarga, malah ada yang menggadaikan nyawa di medan tugas demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Mereka ini sudah mengorbankan masa mereka, mengorbankan keluarga mereka, kepentingan keluarga mereka, dan sebahagiannya mengorbankan nyawa mereka untuk negara.

“Jadi tak timbul isu bahawa pengorbanan itu dipertikaikan. Mungkin ada sebahagian pihak mengatasi undang-undang dan peraturan, mereka akan dihukum tetapi kepercayaan kita kepada anggota pertahanan tidak pernah berbelah bahagi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN