fbpx
Filem horror 28 Years Later: The Bone Temple kini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara dan mendapat respons luar biasa penonton.

The Bone Temple, filem zombi apokalips ‘paling berseni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Berani, inovatif dan tidak keterlaluan sekiranya disifatkan 28 Years Later: The Bone Temple paling menonjol berbanding tiga siri filem yang pernah diterbitkan sebelum ini. 

Buat penulis secara peribadi, filem ini bukan sahaja untuk penggemar naskhah horror tetapi untuk mereka yang mempunyai tabiat tidur di panggung wayang. Memang tak sempat diulit mimpi kerana banyak adegan berdarah, gory di luar kotak dan ‘serangan’ mengejut yang menderas adrenalin. 

28 Years Later: The Bone Temple tampil sebagai sebuah sekuel yang berani, pelik dan penuh eksperimentasi sekali gus mengembangkan dunia 28 Days Later ke arah yang lebih gelap, simbolik dan psikologi. 

Naskhah ini bukan sekadar menyajikan serangan makhluk dijangkiti, tetapi menyelami sisi kemanusiaan, kepercayaan sesat dan keganasan minda yang mengganggu emosi penonton.

Simbolisme

Dari sudut penceritaan, filem ini banyak bermain dengan metafora spiritual dan psikologi manusia yang rosak akibat dunia pasca-apokalips.

Elemen kultus dan ritual menjadi teras konflik, menjadikan suasana lebih menyeramkan, aneh dan tidak dapat dijangka. Walaupun ada bahagian yang terasa tidak tersusun atau terlalu simbolik, keberanian pengarah mencuba sesuatu yang berbeza wajar dipuji.

Dari segi teknikal seperti sinematografi, skor muzik, solekan dan kesan khas (VFX), semuanya dijayakan dengan penuh cermat sekali gus membuatkan mata tertancap di skrin layar lebar tanpa pengkhianatan. 

Paling utama, lakonan barisan pelakon dalam 28 Years Later: The Bone Temple tidak langsung mengecewakan. Semua faham tugasan masing-masing – tidak gagal memberikan yang terbaik buat para penonton. 

Ralph Fiennes sebagai Dr. Ian Kelson menjadi tulang belakang emosi filem ini. Wataknya membawa dimensi kemanusiaan dan renungan moral yang mendalam, menjadikan naratif lebih bermakna walaupun dalam kekacauan. 

Sinergi Dr. Ian meneruskan kehidupan yang sudah berada di hujung tanduk menggunakan ‘runut’ lagu malar segar antara perihal yang membuatkan penulis begitu kagum dengan perjalanan The Bone Temple.

Jack O’Connell pula menyerlah sebagai Jimmy Crystal, seorang pemimpin kultus yang karismatik tetapi menggerunkan – kehadirannya mencetuskan rasa tidak selesa dan ancaman yang berterusan.

Brutal

Namun, tidak semua penonton mungkin dapat menerima pendekatan ini. Nada cerita yang sering berubah antara brutal, ‘absurd’ dan reflektif boleh mengelirukan. 

Peminat tegar filem zombi yang mengharapkan aksi tanpa henti mungkin berasa sedikit kecewa kerana fokus lebih tertumpu kepada tema dan simbolisme berbanding aksi semata-mata.

Secara keseluruhan, 28 Years Later: The Bone Temple ialah sebuah sekuel yang berani mengambil risiko, penuh identiti tersendiri dan meninggalkan kesan mendalam. 

Ia sesuai untuk penonton yang menggemari filem seram berunsur artistik dan eksperimental, tetapi mungkin kurang sesuai bagi mereka yang mahukan hiburan seram yang ringkas dan lurus.

Buat penulis, elemen horror yang diselitkan sangat meninggalkan dampak – babak kulit badan ‘ditanggalkan’, adegan ketua zombi ‘menjamah’ otak manusia dengan penuh rakus tanpa perikemanusian masih basah di fikiran sehingga ulasan ini dilunaskan. 

Tidak teragak-agak untuk memberikan markah 90 peratus untuk 28 Years Later: The Bone Temple andai naskhah ini adalah lembaran kertas jawapan peperiksaan. Wajib tonton, memang tiada penyesalan.

28 Years Later: The Bone Temple
Pengarah: Nia DaCosta
Pelakon: Ralph Fiennes, Jack O’Connell, Alfie Williams, Erin Kellyman
Edaran: Sony Pictures Releasing
Tayangan:  15 Januari 2026
Bintang: ★★★★☆

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI