KOTA BHARU – Hanya DPMM FC dianggap memiliki bekal yang lebih selesa untuk meraih slot suku akhir Piala Malaysia apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, sebentar tadi.
Dua lagi perlawanan pusingan 16 yang berlangsung hari ini berakhir dengan keputusan seri sekali gus memberikan peluang seimbang buat empat pasukan, Melaka FC, Sabah FC, Imigresen FC dan Negeri Sembilan.
Walaupun wujud jurang kualiti antara pemain kedua-dua pasukan, semangat juang dijelmakan Kelantan Red Warriors sering menghadirkan kesukaran buat DPMM FC setiap kali cuba mengatur serangan.
Bagaimanapun, minit ke-31, usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Ramadhan Sananta bijak mengambil peluang untuk menghasilkan gol pembukaan.
Jaringan itu nyata beri kesan kepada tuan rumah yang seakan hilang punca setiap kali mengatur gerakan dan peluang terbaik menerusi Faiz Nasir pada minit ke-40 berjaya dinafikan oleh penjaga gol pelawat, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Aksi di babak kedua bertambah menarik dimana Kelantan Red Warriors menggandakan tempo permainan namun DPMM FC lebih bertuah apabila meraih jaringan kedua menerusi Syafiq Ahmad pada masa kecederaan.
Di Stadium Hang Jebat, Sabah FC yang memiliki kelebihan seorang pemain ekoran layangan kad merah kepada Dino Kalesic di hujung babak pertama gagal memanfaatkan peluang apabila hanya seri 2-2 dengan Melaka FC.
Tuan rumah memulakan aksi dengan langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Sharel Fikri Md Fauzi namun selang 12 minit Ajdin Mujagic kembali menyamakan kedudukan.
Minit ke-38, Pak Kwang-il kembali meletakkan Melaka FC di depan namun penyerang muda negara, Fergus Tierney muncul penyelamat Sabah FC apabila meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-88.
Dalam aksi sebelah petang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Imigresen FC dan Negeri Sembilan terikat tanpa jaringan. – KOSMO! ONLINE
KEPUTUSAN PENUH
Imigresen FC 0-0 Negeri Sembilan
Melaka FC 2-2 Sabah FC
Kelantan Red Warriors 0-1 DPMM FC














