BANGKOK – Pengunjung beberapa pantai di wilayah Phetchaburi, Thailand terkejut apabila air laut bertukar warna hijau pekat, lapor portal berita Thaiger.
Fenomena yang meliputi garis pantai sepanjang lebih 2.5 kilometer itu paling ketara dilihat di Pantai Cha-am dan Pantai Boi Bo Yai.
Beberapa pegawai dari Jabatan Marin dan Sumber Pantai (Teluk Atas) telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa warna hijau itu berpunca daripada ledakan plankton, kejadian semula jadi yang dicetuskan oleh peningkatan mendadak populasi plankton.
Hasil ujian menunjukkan tiada bau pelik, manakala kualiti air laut seperti pH, kemasinan, suhu dan paras oksigen terlarut berada dalam julat keselamatan standard.
“Air laut kekal selamat untuk kegunaan rekreasi dan tiada keperluan untuk kebimbangan awam. Namun, pengunjung yang mempunyai kulit sensitif boleh mengalami kerengsaan kulit dan dinasihatkan untuk membilas dengan air bersih serta-merta selepas berenang,” katanya.
Ledakan alga itu dijangka hilang secara semula jadi dalam tempoh dua sehingga tiga hari, lapor portal berita Dailynews. – AGENSI














