BAITULMAQDIS – Israel berdepan peningkatan mendadak kes tekanan emosi selepas trauma (PTSD) dan insiden mengambil nyawa sendiri dalam kalangan askarnya ketika pertempuran berterusan di Gaza dan Lubnan, lapor portal berita Saudi Gazette semalam.
Menurut laporan terkini Kementerian Pertahanan Israel, peningkatan tersebut juga berlaku ketika ketegangan semakin memuncak antara Tel Aviv dan Tehran.
Jawatankuasa Parlimen Israel mendapati pada Oktober tahun lalu, seramai 279 askar cuba tamatkan riwayat sendiri dalam tempoh antara Januari 2024 hingga Julai 2025, peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Laporan itu mendapati anggota tentera tempur merangkumi 78 peratus daripada semua kes bunuh diri di Israel pada 2024.
Kajian di Israel menunjukkan perang Gaza memberi kesan besar terhadap kesihatan mental anggota tentera yang melaksanakan misi di wilayah Palestin termasuk menyingkirkan Hamas, membawa pulang tebusan dan melucutkan senjata Hezbollah di Lubnan.
Kementerian Pertahanan Israel berkata, pihaknya merekodkan peningkatan hampir 40 peratus kes PTSD dalam kalangan anggota tentera Israel sejak September 2023.
Ia meramalkan angka itu akan meningkat sebanyak 180 peratus menjelang 2028.
Menurut kementerian sama, daripada 22,300 anggota tentera atau kakitangan yang menerima rawatan akibat kecederaan perang, 60 peratus mengalami trauma pascaperang.
Tentera Israel telah membunuh lebih 71,000 rakyat Palestin di Gaza dan 4,400 di selatan Lubnan, demikian menurut pegawai-pegawai di wilayah Palestin itu dan Lubnan.
Israel turut menyatakan, lebih 1,100 askarnya terbunuh sejak 7 Oktober tahun lalu. – AGENSI














