fbpx
TIDAK serik, Amelina optimis mahu menjayakan sebuah showcase dangdut sendiri pada masa depan. – FIRDAUS JOHARI

‘Gelek kau, rengek kaulah! Dangdut memang takkan pupus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAWARAN sepentas dengan Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista menerusi konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara yang sepatutnya dijadualkan pada 6 Disember lalu ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Harapan setinggi bintang itu ditatang kemas, namun semua itu kekal sebagai impian tidak kesampaian. Dia hanya pasrah berputih mata apabila konsert yang turut menampilkan Baby Shima itu ditunda secara mengejut hanya beberapa minggu sebelum acara berlangsung.

Terkilan dengan apa yang terjadi, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin sebenarnya teramat menantikan penyatuan peminat dangdut dari Malaysia dan Indonesia menerusi konsert berkenaan.

Malah, dia juga sudah merancang beberapa persembahan istimewa, termasuk menyanyikan karya Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas terbabit.

“Konsert dangdut ini kalau tak dua atau tiga kali tunda, bukan dangdutlah. saya pun tak tahu apa masalah atau kekangan mereka. 

“Rasa terkilan sebab melibatkan artis dari luar negara. Kita bayangkan gabungan penonton dari Indonesia dan Malaysia yang meminati Inul akan datang. 

“Kecewalah bila tak jadi. Saya sendiri tak tahu status sama ada tak jadi terus atau ditunda.

SEDIKIT sebal dan kesal, Amelina berharap akan dipertemukan penganjur yang benar-benar serius mahu menjayakan konsert dangdut, tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

“Saya dan Inul sudah rancang nak berduet lagu Irama Malaysia, mungkin lagu Siti Nurhaliza atau Ziana Zain. Ada elemen ‘surprise’ sebenarnya untuk peminat,” katanya kepada HibGlam semasa pertemuan eksklusif di Rusa Cafe, baru-baru ini. 

Mesra membahasakan dirinya Kak Long, kekecewaan penyanyi berusia 52 tahun itu turut bersulam kerisauan memikirkan nasib peminat yang terpaksa berhabis wang ringgit demi menyaksikan konsert berkenaan.

“Saya kasihankan pembeli tiket yang sudah tempah hotel semua. Ada yang DM (mesej langsung) saya dari Sabah, Sarawak, Singapura. 

“Mereka marah sebab hotel tak boleh bayar balik sebab penganjur beritahu lambat. Mereka DM tanya kenapa batalkan, seolah-olah saya yang batalkan, ralat sangat,” katanya lagi. 

Kumpul artis dangdut

Pengalaman hitam yang dilalui bagaimanapun tidak mendatangkan racau atau trauma, Amelina sebaliknya masih terbuka membuat persembahan berskala kecil. Dalam masa sama, dia mengharapkan sikap lebih serius dan berintegriti daripada penganjur.

“Saya ada perancangan nak buat showcase sendiri tapi perlukan pasukan yang kuat dan kewangan yang stabil. 

“Kita tak tahu nak dapat bajet dari mana, sama ada dana atau duit sendiri. Harap sangat dapat jumpa penganjur yang betul-betul serius, bukan sekadar untuk buat nama,” luahnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Memori Daun Pisang itu turut menyarankan penganjur mempertimbangkan penganjuran konsert khas menghimpunkan penyanyi dangdut tempatan dalam satu pentas.

“Sebenarnya ramai yang nantikan konsert dangdut. Saya pernah buat persembahan yang ada ramai artis, saya seorang saja penyanyi dangdut. 

“Bila saya masuk saja, ‘vibe’ jadi lain. Penonton terus boleh layan. Lagu dangdut ini kira lagu ‘sing-along’. 

“Saya sarankan penganjur buat satu konsert dengan artis dangdut Malaysia saja, kalau skala terlalu besar, itu yang jadi serabut,” jelasnya. 

Beralih topik perbincangan, Amelina turut menyentuh skeptikal umum ketandusan ketandusan pelapis dangdut di Malaysia.

“Dangdut tak pupus, cuma industri kena adil. Dahulu, peminat pop pun boleh minat dangdut sebab semua genre bergerak seiring.

“Sekarang, bila ada satu sikap ‘keluarkan dangdutlah’, orang tak nampak kehebatan dangdut, nampak kesalahan sahaja. 

“Gelek kaulah, rengek kaulah. Mereka cari kesalahan sebab tak ada keistimewaan yang ditunjukkan,” ujarnya sebal. 

Terbuka semua genre

Kekal dengan irama dangdut yang diawali sejak 1994, Amelina turut menyeru khalayak agar lebih terbuka menerima pelbagai genre muzik.

SEDAR muzik juga ada istilah anak tiri, Amelina berharap industri dan peminat bersikap terbuka dan tidak skeptikal terhadap dangdut.

“Pendengar kena positif. Muzik dangdut umpama penghibur, kalau tengah dengar lagu sedih, tiba-tiba masuk dangdut, suasana bertukar.

“Tengah stres bawa kereta, tiba-tiba DJ putar lagu dangdut, terus rasa berubah mood. Jadi pendengar kena sporting,” tuturnya. 

Tambahnya, pendengar muzik tidak seharusnya menghakimi karya artis walaupun diberi kebebasan bersuara dalam media sosial. 

“Sekarang kita sentiasa diadili dan ‘dibawang-bawangkan’. Semua orang boleh bersuara dengan terang-terangan sebab ada platform sendiri. 

“Artis sendiri pun boleh pertahankan diri sendiri, tak macam dahulu kena diam saja. Dahulu ada rakan wartawan yang akan pertahankan kita dengan etika. Mereka selidik dahulu sebelum tulis. 

“Sekarang, orang hentam artis boleh terus buat hantaran balas. Tapi kalau kita membela dengan cara marah, tetap akan nampak kesalahan kita,” tutupnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI